" When we woke up in the morning, we have 2 choices....
Go back to sleep and conntinue dreaming....
OR
wake up n chase the dream!"

Pages

Saturday, January 22, 2011

Nasib pekerja kontrak 2011

DALAM keadaan politik dan ekonomi yang stabil, sektor awam merupakan cabang pekerjaan yang menjadi rebutan. Ia ditambah dengan pelbagai kelebihan lain yang dalam kebanyakan sudut jauh lebih baik berbanding sektor swasta.

Ketika ini dianggarkan terdapat seramai 1.2 juta orang pekerja yang berkhidmat di sektor awam. Jumlah itu tidak termasuk kira-kira 60,000 lagi pekerja yang berkhidmat secara kontrak. Bagi sebuah pentadbiran negara yang kukuh, jumlah pekerja kontrak itu boleh dianggap tinggi.
Kerana itu, timbul desakan supaya kerajaan mengkaji semula kedudukan pekerja kontrak itu dan menyerap mereka ke jawatan tetap. Antara yang lantang bersuara sudah semestinya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Kebimbangan CUEPACS itu sebenarnya lebih kepada kedudukan ekonomi pekerja. Lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang suram ketika ini. Persaingan untuk mendapatkan kerja baru sudah semestinya sangat sukar apatah lagi dianggarkan sekurang-kurang 500,000 orang memasuki dunia pekerjaan saban tahun.
Lebih malang, ada pekerja kontrak itu yang sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen kewangan yang besar. Hilang pekerjaan dalam tempoh-tempoh yang sukar seperti ini pastinya lebih menyulitkan kehidupan mereka.
Bagi CUEPACS penyerapan pekerja kontrak ke jawatan tetap perlu diutamakan demi menjamin manfaat yang sewajarnya kepada kumpulan pekerja tersebut. Ia terutamanya kemudahan pencen apabila bersara yang diperlukan dalam meneruskan kelangsungan hidup. 

Justeru, adalah wajar bagi kerajaan untuk menimbangkan tuntutan CUEPACS itu dengan menyerap pekerja kontrak supaya nasib mereka dibela seadilnya. Lebih daripada itu, penyerapan tersebut juga memberi manfaat kepada kerajaan kerana kebanyakan daripada mereka adalah pekerja terlatih dan berpengalaman.
Cadangan menghapuskan sistem pekerjaan kontrak dalam sektor awam dilihat kurang sesuai untuk dilaksanakan. Seperti yang dikongsi oleh pemerhati sosial, Mohd Na'eim Ajis, kumpulan pekerja itu juga sudah mahir dengan struktur organisasi kerajaan.
Kerajaan juga katanya, dapat berjimat dalam soal kos latihan dan pembangunan staf di sesebuah agensi.
"Jangan disebabkan pelaksanaan yang dilakukan oleh sesetengah pihak tidak betul, sistem kontrak ini hendak dihapuskan," ujar pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.
Bagaimanapun di pihak kerajaan juga ada alasan yang munasabah. Sistem kontrak baik di sektor awam mahupun swasta dapat mengurangkan kos dan meningkatkan produktiviti. Majikan mempunyai liabiliti yang tinggi jika mengambil pekerja tetap terutamanya dari sudut faedah pekerjaan yang perlu disediakan berbanding pekerja kontrak. 

Aspirasiku : Kecintaanku dalam bidang perguruan di uji lagi...Jawatan GSTT Kontrak yang disandang sejak 16 Januari 2009 tidak akan disambung oleh kerajaan. Walhal, kerajaan Malaysia telah berjanji akan menyambung kontrak kami dan akan diserap kepada jawatan TETAP selepas 3 tahun berkhidmat.....Janji tinggal janji.....Walauapapun, aku percaya nasib kami akan terbela. Kecintaanku untuk mendidik anak bangsa, masih segar di sini dan tidak mungkin mudah layu...

(Sumber :http://cuepacs.blogspot.com/2009/12/timbang-nasib-pekerja-kontrak.html)